Barakah.

بسم الله الرحمن الرحيم

MAKNA BERKAT / BARAKAH

Barakah atau berkat dalam istilah melayu adalah satu kurniaan dari Allah yang mendatangkan kebaikan. Barakah merupakan Rahmat Allah yang di letakkan pada sesuatu yang di kasihi NYA
Berkat beserta kurniaan rahmat menjadikan sesuatu yang sedikit dapat memberikan ketenangan dan kepuasan dan hidup terasa penuh kecukupan.

Barakah adalah kata yang di inginkan oleh semua hamba yang beriman kerana dengannya orang akan mendapat limpahan kebaikan di dalam hidupnya

Barakah bukanlah makna cukup dan mencukupi sahaja tetapi barakah adalah ketaatan mu kepada الله dengan segala keadaan yang ada baik berlimpah atau sebaliknya

Barakah itu : ” albarokatu tuziidukum fi thoah “~Barakah itu menambah taat mu kepada الله

Hidup yang barakah itu bukan hanya sihat sahaja tetapi kadang sakit itu lebih barakah kerana ada kebaikan dan rahmat الله di dalamnya sebagaimana Nabi Allah Ayyub عليه السلام sakitnya menambah taatnya

Barakah bukan sahaja panjang umurnya. Ada juga yang pendek umurnya seperti Mushab bin Umair tapi dahsyat taatnya

Tanah yang barakah bukan sahaja kerana subur dan cantik panoramanya kerana tanah yang tandus seperti Makkah punya keutamaan di hadapan الله yang tiada tandingannya.

Makanan yang barakah bukan sahaja yang banyak gizinya dan lengkap vitaminnya tetapi orang menjadi lebih taat selepas memakannya

Ilmu yang barakah itu bukanlah yang banyak riwayat dan catatan kakinya tetapi yang barakah adalah yang mampu menjadikan seseorang menitiskan keringat dan darah nya dalam beramal dan berjuang untuk agama

Rezeki yang barakah bukan sahaja pada gaji yang besar dan bertambah jumlahnya tetapi sejauh mana pendapatan itu membuka jalan untuk membantu lebih ramai manusia.

Anak – anak yang barakah adalah anak – anak yang sentiasa taat kepada RabbNya dan kelak ada di antara mereka menjadi anak shalih yang tak henti – hentinya mendoakan kedua orang tuanya

Semoga segala pekerjaan kita yang di mulakan dengan menyebut Asma’ NYA ada barakah di dalamnya dan الله hadirkan rasa yakin dengan janji dan Rahmat buat kita semua.
اللهم امين يا رب العالمين

Syurga.

*Adakah Syurga Buat Ayah?*

_________

TELEVISYEN cepat-cepat dibuka. Terus sahaja mengambil tempat duduk di sofa di ruang tamu itu. Cuma mereka berdua melayan drama jam 7 itu. Mama belum pulang dari kerjanya. Mungkin terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mana pernah jalan itu lengang.

“Dah azan kan. Pergi solat. Nanti sambung la tengok cerita tu.” Satu suara menegur.

Dua beradik itu hanya memandang sekilas dan membiarkan sepi arahan itu. Arahan dari seorang ayah yang sudah semakin uzur. Dengan tongkat di tangan, perlahan si bapa mendekati kedua-dua anak perempuannya.

Skrin televisyen yang terang dan sedang dalam babak yang penuh mendebarkan, tiba-tiba menjadi gelap. Rupanya, tanpa disedari si ayah menutup suis televisyen dan hanya berdiri di situ. Selagi anaknya tidak berganjak, selagi itu dia teguh berdiri.

Anak-anaknya bukan kanak-kanak lagi. Usia yang sudah layak kahwin pun. Seorang 23, seorang lagi 21. Entah di mana silapnya, anak yang dulu mendengar kata mulai menjadi degil sekarang. Si anak mendengus geram mengenangkan perbuatan ayah mereka.

“Sudah… Pergi solat. Pergi mengaji. Bila kali terakhir kakak dengan adik baca al-Quran? Pergi ambil wudhuk dan solat sekarang!” Suara ayah serius. Menunjukkan ketegasannya.

Bagai anak kecil, keduanya menghentak kaki, protes. Namun kaki tetap digagahkan menuju ke bilik air untuk berwudhuk. Bukan mereka tak tahu kewajipan solat. Tapi, dalam hati sudah menyimpan rasa lebih asyik menonton drama dan mencipta alasan selepas habis menonton, boleh solat.

Ayah hanya memandang dari tempatnya berdiri. Jauh di sudut hatinya begitu sedih melihat keadaan anak-anaknya. Hanya itulah anaknya. Kegagalan anak-anaknya untuk patuh pada Yang Esa membuatkan dia merasa dirinya adalah seorang pemimpin yang gagal.

“Assalamu’alaikum….” Disapa si isteri yang baru sampai rumah, pulang dari kerja. Sementelah dia keuzuran akibat sakit yang menimpa, isteri menggalas tanggungjawabnya menanggung keluarga.

Si isteri memandang sekilas, dan terus naik ke bilik mereka. Badannya terasa letih, melekit dan berlengas. Hendak segera membersihkan dirinya. Rimas dengan peluh dan lelah. Sapaan suaminya juga hanya disambut dalam hati.

“Ya Allah…. Banyaknya dosaku… Sabarkan aku untuk mendidik isteri dan anakku….” Doa seorang suami dan seorang ayah. Penuh harapan.

___________________

“Aku tak puas hati betullah! Kita syok tengok cerita tu, ayah pi tutup pulak tv tu.” Si adik meluah rasa hatinya.

“Aku pun tak puas hati. Bukannya kita tak solat langsung pun.” Si kakak menyokong.

Telekung ditanggalkan dan dicampak atas katil. Sejadah tak berlipat. Dibiar terbentang menghadap ke arah kiblat. Niat di hati ingin terus menyerbu keluar dan membuka suis televisyen. Tapi, ayahnya sudah pasti belum berganjak dari situ.

“Jom, dik. Kita keluar. Kalau ayah tanya dah ngaji belum, kita jawab je dah.” Si kakak mengajak. Si adik hanya bersetuju.

Keduanya berjalan keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Ingin menyambung kembali keasyikan melayan drama yang hangat diperkatakan di kebanyakan media sosial yang ada sekarang ini. Padahal cerita hanya membuai rasa. Tidaklah memberi manfaat pun pada yang menonton.

“Awak dah benci dekat suami macam abang ni ke?” Terdengar suara si ayah. Kedua anaknya berhenti dan menyorok di sebalik dinding yang menjadi penghadang sebelum sampai ke ruang tamu.

Sebelum ini, tidak pernah mama dan ayah mereka bergaduh. Cuma kali ini baru terdengar seperti agak serius juga. Keduanya mencuri dengar. Rupanya, mama mereka juga baru turun dan langsung tak menghiraukan keberadaan si ayah. Suasana kedengaran sepi.

“Duduklah sekejap. Dengar apa abang nak katakan. Selepas itu, awak boleh menilai dan membuat pemilihan.” Suara ayah bergema lagi.

“Ada apa? Cepatlah. Saya penat ni.” Si isteri bersuara. Dingin. Duduk bertentangan dengan sang suami.

Anak-anak yang bersembunyi mulai berfikir macam-macam. Tidak mahu dan tak pernah terlintas untuk melihat mama dan ayah mereka bergaduh besar. Tak pernah langsung mengharap kehancuran rumahtangga ini. Memang diakui keadaan mereka sekeluarga mulai berubah. Sejak… Ayah sakit.

_____________

“MAAF…” Perkataan itu yang pertama keluar.

Isterinya berkerut. Mengapa tiba-tiba maaf. Sepertinya tidak menjawab langsung persoalan. Malah lebih meninggalkan banyak tanda tanya di kepala isteri.

“Un….”

“Tak perlu bersuara. Biar cuma abang sahaja bersuara saat ini. Biar abang yang mengatakan segalanya.” Si suami memotong bicara isterinya.

“Abang minta maaf sebab sakit ni, awak yang kena bekerja. Keluar awal pagi, balik nak dekat maghrib. Salah abang. Abang minta maaf. Abang minta maaf sebab abang tak kaya. Abang dah menyusahkan awak bekerja di luar sedangkan awak sepatutnya di rumah. Abang minta maaf sebab abang tak mampu melakukan kerja-kerja di rumah dengan sempurna sehingga awak yang penat bekerja di pejabat, terpaksa menyelesaikan kerja yang abang tangguhkan. Abang minta maaf. Abang minta maaf.” Si suami menundukkan kepalanya memandang ke lantai.

“Tak apa.” Ringkas respon si isteri.

“Abang minta maaf sebab gagal mendidik anak-anak. Abang minta maaf sebab gagal menjadi ketua keluarga yang baik. Abang banyak menyusahkan awak dan anak-anak.” Si suami menambah lagi.

Kedua-dua anak yang mencuri dengar cuma terdiam. Apa maksud ayah mereka dengan gagal mendidik? Kalau gagal mendidik anak, merekalah anak ayah dan mama. Jadi, mereka gagal dididik hingga membuat seorang ayah merasa dirinya yang gagal?

“Abang minta maaf tak dapat tunaikan semua permintaan awak dan anak-anak. Abang tak mampu. Abang salah. Maafkan abang.” Sekali lagi suara ayah kedengaran.

“Baguslah kalau abang sedar. Saya memang betul-betul penat. Dah. Saya nak tidur.” Dingin sahaja si isteri membalas. Anak-anak terkedu. Mama mereka tidak pernah sekeras itu.

“Awak belum jawab soalan abang. Benci sangat ke awak pada suami awak ni?” Pertanyaan suami memberhentikan langkah si isteri untuk ke bilik.

Di sebalik dinding, anak-anak juga berdebar menantikan sebuah jawapan dari mama mereka. Sambil itu, masing-masing bersiap sedia untuk keluar nanti dari situ dengan wajah yang langsung tidak beriak. Seperti tiada apa-apa terjadi.

“Sangat…” Ada getaran dari suara si isteri.

Menahan sebak. Kata-katanya seperti terpaksa, berat meluahkan. Si isteri terus berlalu untuk ke bilik. Terserempak dengan kedua anaknya. Dipandang dengan mata berkaca, dan terus berlalu dari situ.

Ayah mereka menyusul tidak lama selepas itu. Pandangan ayah dan mama tidak sama. Pandangan ayah penuh harapan dan cinta sedang pandangan mama sarat kasih sayang, dan emosi berkecamuk. Mood anak-anak terikut bertukar. Dari yang seronok ingin menonton tv, kini seperti tiada hati lagi.

______________________

SETAHUN sudah berlalu sejak kejadian itu. Setahun yang begitu banyak suka duka. Tampak goyah dan bergoyang, tapi akarnya sudah Allah bantu mengukuhkan. Kini, sudah 5 bulan si ayah pergi menghadap Ilahi.

7 bulan sebelum itu, ayah tampak gigih cuba menguatkan diri untuk sembuh lagi. Ayah tampak gigih menarik kembali hati isteri. Ayah cukup tabah mendidik anak-anak. Cuma 7 bulan. Walaupun, isteri terlalu dingin.

5 bulan ini dipenuhi air mata. Dipandang ke sudut mana pun, kelibat ayah selalu terlihat. Mama sering menangis. Kain pelikat ayah dipeluknya saat rindu menggamit hati. Sering sahaja mama mengulang satu cerita sambil menangis.

“Ayah tak pernah jahat. Ayah adalah ayah dan suami yang baik. Mama penat kerja, tiap malam ayah urut kaki mama. Tapi, mama ego. Mama selalu rasa menyampah. Mama lupa ini ujian. Ayah masak makan malam dan tunggu kita semua pulang dari kerja. Bila kita balik, semua masuk bilik. Mama nampak ayah sedih. Mama nampak ayah simpan semua lauk dalam peti sejuk. Mama tahu, ayah pun tak makan lagi. Sedangkan kita dah makan sebelum sampai rumah.” Mama menangis. Anak-anak turut menangis.

“Tapi, mama selalu menangkan ego. Mama selalu kata biarlah. Bila dah simpan lauk, ayah naik bilik. Macam biasa, ayah urutkan kaki mama. Mama rindu.” Lirih suara mama menyambung bicara.

Ada sebuah warkah sudah ayah tinggalkan buat isteri dan anak. Seolah-olah dia mengetahui dirinya bakal pergi. Warkah yang tak mungkin akan hancur dari ingatan. Warkah yang berisi luahan rasa sayang seorang suami dan ayah. Luahan terakhir sebelum suami dan ayah itu menghembuskan nafas terakhir dalam sujud di waktu subuh.

________________

WARKAH dari ayah itu dibaca berulang kali. Selepas pengebumian ayah, kakak ternampak surat itu yang diselitkan di tepi diarinya. Diambil dengan hati sarat tanda tanya mengenai warkah rahsia itu.

Kebetulan, pada waktu yang sama si adik masuk ke bilik. Matanya tampak sembab dan agak kemerahan menjadi bukti dia banyak menangis. Mendekati si kakak dan berpelukan dua beradik dengan tangisan. Warkah yang ada di tangan digenggam kuat.

Setelah hati dirasakan sedikit kuat, barulah si kakak memberitahu ayah ada meninggalkan warkah buat tatapan mereka berdua. Si adik merapatkan diri di sebelah kakaknya. Ingin membaca surat itu bersama. Perlahan-lahan lipatan surat itu dibuka.

**************

Assalamu’alaikum buat anak-anak ayah. Saat surat ini sedang dibaca, pastinya ayah sudah tiada. Jangan bersedih anak ayah. Jangan menangis.

Ayah cuma nak tuliskan kata-kata maaf buat anak-anak ayah. Ayah banyak salah. Banyak khilaf. Malah, ayah bukan ayah yang baik. Gagal juga mendidik anak-anak. Sehinggakan solat 5 waktu pun, masih tunggang langgang.

Maafkan ayah sekali lagi. Ayah betul-betul minta maaf sebab ayah, kalian tak menerima didikan agama yang sempurna. Ayah tahu, tapi tak amal, tak ajar dekat isteri dan anak-anak. Ayah silap.

Sampaikan, kamu tidak menutup aurat pun, masih ayah biarkan. Ayah tahu, tapi selalu sahaja ayah berkata, “nantilah tegur” sampai bila ayah tegur, kamu pun dah tak boleh terima.

Maafkan ayah.

Sekarang ayah dah tak ada. Ayah lega nampak kamu dah mula jaga solat walaupun perlu disuruh baru bergerak. Tapi, ayah dah tak ada untuk suruh kamu berdua lagi. Ayah dah tak ada lagi untuk mintak kamu berdua tutup aurat. Tapi, ayah harap kamu berdua berubah.

Iman kamu masih hidup, dan ayah doakan iman kamu akan terus hidup, menggerakkan kedua-dua anak kesayangan ayah ni untuk berubah menurut syariat.

Sungguh… Ayah mengharap kalian menjadi anak solehah. Kalian kunci ayah ke syurga dan kalian juga mampu menggelincirkan ayah ke neraka. Jadi, maafkan ayah atas segala kegagalan ayah selama ini.

Cuma satu ayah nak tanyakan pada anak-anak, adakah syurga buat ayah yang gagal ini?

Salam sayang…
Ayah

*******************

BASAH surat itu dihujani air mata kedua beradik itu. Benarlah kata mama. Ayah tak pernah gagal, tapi sikap merekalah yang membuat ayah merasa gagal. Bukan ayah tak mendidik, malah ayah begitu tegas dalam didikan, cuma merekalah yang memberontak.

‘Ayah tak pernah gagal. Ayah tak pernah gagal mendidik, ayah tak pernah gagal membahagiakan, ayah tak pernah gagal mencuit hati, ayah tak pernah gagal dalam apa jua keadaan. Hatta dalam kesakitan, ayah tak pernah gagal buat kami selesa makan sedap dan rumah bersih. Maafkan kami, ayah.’ Monolog hati si kakak. Air mata tak henti mengalir.

“Kakak, layakkah kita digelar anak?” Si adik menyoal dalam sendu. Menusuk ke hati. Perit ditelan sebuah persoalan.

“Apakah sekarang ini kita benar-benar mahu menghadiahkan syurga, atau memberi neraka pada ayah, kak?” Soalnya lagi.

Detik dan waktu itu menjadi saksi perubahan dua orang anak yang sering diimpi-impikan oleh ayah mereka. Meskipun seorang ayah tak sempat menyaksikannya, sekurang-kurangnya harapan itu terbalas. Tekad di hati kedua anak, syurga buat ayah itu; ada.

TAMAT

Adakah Syurga Buat Ayah?

Soal diri dan hati sendiri..

Daulat Tuanku.

الله اكبر.. الله اكبر.. الله اكبر..

Pada 24 April 2017 bersamaan 27 Rajab 1438 H..
Hari bersejarah sempena Pertabalan Sultan Kelantan,
SULTAN MUHAMAMD V
Sebagai Yang diPertuan Agong Malaysia yang ke 15..

Majlis Raja Raja bersetuju mengisytiharkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Baginda akan menggantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri semua Raja dan dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri Kelantan.

Raja berjiwa rakyat

Tengku Muhammad Faris Petra, 47, putera sulung Sultan Ismail Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat serta berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) gemar membaca serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin Aishah Putri, 27..

Semoga tuanku Baginda diPanjangkan Usia.. Selamat bertakhta sebagai Yang diPertuan Agong dan Ketua agama juga Ketua Negara Malaysia.. amin aamiin..ya robbal aalamiin..

Daulat tuanku,
Allahu akbar.. !!